Bulan Pertama
Bayi
* Lapan minggu pertama, bayi anda dipanggil embrio dan berupa seperti berudu.
* Ia akan mula mengalami pertumbuhan kepala, badan dan jantungnya.
* Tiub saraf yang akan menjadi otak dan saraf tunjang mula terbentuk.
* Pada hari ke 25, jantungnya sudah mula berdenyut.
* Di penghujung bulan ini, saiz embrio lebih kurang seperti sebutir beras dan mempunyai berat kurang dari 1 auns.
Ibu
* Anda hamil dan tidak datang haid.
* Badan anda mula menghasilkan hormon yang diperlukan untuk membentuk bayi.
* Buah dada akan membesar dan terasa sakit.
* Anda kerap membuang air kecil kerana pundi kencing anda ditekan oleh rahim yang semakin membesar.
* Sistem penghadaman anda juga terganggu mengakibatkan sembelit dan kembung perut.
* Perubahan mood juga biasa berlaku di awal kehamilan.
* Anda mungkin akan mengidam untuk makan sesuatu.
Tip
* Anda boleh menggunakan kit pemeriksaan sendiri di rumah yang boleh dibeli di farmasi.
* Sahkannya dengan doktor anda bersekali dengan pemeriksaan pranatal pertama anda.
* Ambil vitamin B asid folik setiap hari untuk mengurangkan risiko kecacatan pada otak dan saraf tunjang.
* Tanya doktor anda tentang ubat-ubat serta produk herba yang boleh dan tidak boleh diambil.
* Berhenti merokok, mengambil dadah dan minum minuman alkohol.
Bulan Kedua
Bayi
* Semua organ dan sistem badan utama telah terbentuk tetapi belum sempurna.
* Tulang belakang, otak dan tali pusat turut terbentuk.
* Jantung sudah mula berfungsi dan sistem saraf bayi berkembang dengan pesat.
* Jari tangan dan kaki membentuk, begitu juga dengan telinga dan kelopak mata.
* Uri yang berfungsi membawa makanan kepada bayi dan membawa bahan buangan dari bayi mula terbentuk, tetapi belum boleh berfungsi.
* Panjang janin lebih kurang 1 inci dan beratnya masih kurang dari 1 auns.
Ibu
* Buah dada anda masih terasa sakit, warna puting dan aerola menjadi bertambah gelap.
* Anda mungkin berasa letih dan memerlukan lebih rehat untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru anda. Tambahan lagi semasa inilah kebanyakan organ kritikal bayi termasuk otak akan terbentuk.
* Jumlah darah dalam badan juga turut meningkat.
Tip
* Kunjungi doktor anda untuk pemeriksaan prenatal.
* Doktor anda mungkin memberi anda vitamin prenatal. Vitamin anda sepatutnya mengandungi 400 mikrogram asid folik.
* Jika anda mengalami mabuk hamil, cubalah makan sedikit tetapi kerap.
* Elakkan pengambilan kafein secara berlebihan. Jika anda merokok, berhenti segera!
* Makan makanan yang berkhasiat dan seimbang daripada lima kelas makanan utama (bijirin, buah, sayur, produk tenusu, daging dan protin)
* Minum sekurang-kurangnya 8 gelas air, jus atau susu.
Bulan Ketiga
Bayi
* Selepas 8 minggu, embrio kini dipanggil janin atau fetus.
* Jari tangan dan kaki janin kini punya kuku yang lembut.
* Rerambut halus juga sudah mula tumbuh pada kulit bayi.
* Diperingkat ini, uri sudah berfungsi sebagai pembawa oksigen dan makanan dari ibu ke bayi.
* Bayi sudah mula membuang najis dan air kencing melalui tali pusat.
* Anda boleh mula mendengar detik jantung bayi untuk kali pertamanya pada minggu ke 10 hingga 12.
* Jantina bayi juga mula terbentuk.
* Di akhir bulan ini, janin bersaiz sebesar sebiji epal dan beratnya bertambah ke 3 auns diakhir bulan ketiga.
Ibu
* Anda masih terasa sakit dan mabuk hamil, pening kepala dan loya-loya. Gejala-gejala ini akan berkurangan bila anda hampir memasuki bulan keempat. Jika gejala ini adalah teruk, beritahu doktor semasa pemeriksaan prenatal anda.
* Pakaian anda mula terasa ketat di pinggang dan dada. Tukar pakaian anda kepada pakaian yang berpinggang elastik atau getah dengan jenis fabrik yang sesuai seperti kapas.
Tip
* Keperluan badan anda kepada kebanyakan vitamin dan galian semakin meningkat. Teruskan amalan makanan seimbang anda.
* Berat anda mungkin bertambah 1 hingga 2 kilogram. Wanita yang beratnya sebelum hamil adalah normal sepatutnya menambah berat badannya antara 10 hingga 16 kg sepanjang kehamilannya.
* Bersenam dapat membantu. Berjalan pilihan yang baik. Tanya doktor anda sebelum memulakan rutin senaman.
Bulan keempat
Bayi
* Janin akan bergerak, menendang dan menelan.
* Kulit bayi berwarna merah jambu dan lutsinar.
* Bayi anda juga sudah pandai menghisap jarinya.
* Talipusat bayi akan terus membawa khasiat dari ibu ke bayi – termasuk alkohol, nikotin dan lain-lain dadah/ubat (drugs).
* Matanya sudah menghadap ke hadapan.
* Ia juga sudah boleh mendengar suara anda, jadi selalulah ucapkan kata-kata yang baik terhadap bayi disamping memperdengarkan bacaan al-Quran.
* Diakhir bulan keempat, janin berukuran 6 hingga 7 inci dan mempunyai berat 5 aun.
Ibu
* Anda telahpun memasuki fasa bulan madu, trimester kedua.
* Tiada lagi mabuk hamil, selera makan anda juga bertambah baik dan anda juga akan rasa lebih bertenaga.
* Punggung dan buah dada anda juga akan turut membesar.
* Anda juga mungkin terpaksa menukar saiz coli anda.
* Ada juga ibu yang mengalami sedikit pendarahan pada hidung dan gusi.
* Berat anda mungkin bertambah 0.5kg seminggu.
Tip
* Anda memerlukan lebih zat besi dalam diet anda – diet yang baik tidak dapat memenuhinya jadi, biasanya doktor anda akan memberi anda vitamin prenatal seperti obimin.
Bulan kelima
Bayi
* Janin menjadi lebih aktif, berpusing dari sisi ke sisi dan kadangkalanya kepalanya ke atas badan.
* Janin akan tidur dan terjaga dalam selang masa tertentu.
* Kukunya telah turut tumbuh, begitu juga dengan rambut dan keningnya.
* Dalam bulan ini, anda boleh mula melihat jantina bayi melalui ultrasound kehamilan.
* Janin membesar dengan cepat dan diakhir bulan kelima, panjangnya menjadi 8 hingga 12 inci dan berat menghampiri 1 paun.
Ibu
* Peranakan anda telah berkembang sehingga ketinggian pusat.
* Jantung anda berdenyut lebih laju.
* Tidur secukupnya pada waktu malam.
* Jangan terlalu memaksa diri bekerja kuat, rehat jika anda kepenatan.
* Jika anda tidak mengambil kalsium secukupnya, anda mungkin akan mengalami kekejangan kaki.
* Yang menyeronokkan semasa ini, anda telah mula merasa pergerakan bayi di dalam perut bermula dengan rasa ibarat ada rerama sedang terbang di dalam perut anda. Gerakan ini akan semakin ketara apabila bayi semakin membesar.
Tip
* Perkembangan dan berat janin boleh terjejas jika anda merokok, minum minuman keras atau mengambil dadah. Masih belum terlambat untuk anda berhenti.
* Anda boleh mula merancang untuk melahirkan di mana, dengan siapa dan cara kelahiran.
Bulan keenam
Bayi
* Kulit janin berwarna merah, berkedut dan diliputi rerambut halus.
* Mata janin mula terbuka dan jari tangan serta kaki mula kelihatan.
* Janin masih terlalu kecil dan belum bersedia untuk hidup di luar rahim ibu. Jika dilahirkan semasa ini, bayi perlu diberikan penjagaan rapi dan intensif.
* Diakhir bulan keenam, janin berukuran 11 hingga 14 inci panjang dan berat 1 hingga 1 ½ paun.
Ibu
* Anda mungkin merasa janin menendang kuat pada bulan ini.
* Kulit perut anda juga terasa gatal dan pecah-pecah. Belakang anda mungkin terasa sakit.
* Amalkan cara duduk dan berdiri yang baik.
* Untuk membuatkan anda selesa, pakailah kasut bertumit rendah atau tanpa tumit.
* Anda juga mungkin mengalami kesakitan pada bahagian bawah perut anda kerana rahim anda mengembang.
* Berat anda akan meningkat tetapi jika anda menyusukan anak selepas lahir anda akan mudah menurunkannya semula ke berat badan asal anda.
Tip
* Untuk mengelakkan pedih ulu hati, amalkan makan 5 hidangan, sedikit tetapi kerap.
* Anda mungkin alami sembelit. Minum lebih air atau jus buah, dan makan makanan tinggi fiber. Jangan mengambil antacid atau laksatif tanpa nasihat pakar
Bulan ketujuh
Bayi
* Janin kini boleh membuka dan menutup matanya, menghisap ibu jarinya, menangis serta menendang.
* Janin akan turut memberi tindakbalas terhadap cahaya dan bunyi.
* Cuba nyalakan lampu picit dan halakan kepada perut anda, bayi anda di dalam perut mungkin akan menghala ke arah cahaya tersebut.
* Jika janin dilahirkan semasa ini, ia mempunyai peluang yang baik untuk hidup.
* Panjangnya kini 15 inci dan berat 3 paun.
Ibu
* Anda kini telah memasuki trimester ketiga.
* Jika anda berisiko mendapat diabetes gestasi, doktor akan menjalankan ujian darah ke atas anda untuk mengesannya.
* Jika tumit dan kaki anda bengkak ketika berdiri, cuba baring dan tinggikan kaki anda daripada badan.
* Tanda regangan mungkin akan kelihatan di perut dan buah dada kerana saiznya yang membesar.
* Anda juga mungkin mengalami tanda kelahiran palsu. Ini adalah normal, tetapi anda hendaklah berjumpa dengan doktor jika tanda ini wujud lebih dari 5 kali dalam masa satu jam.
* Oleh kerana perut anda semakin membesar, badan anda akan menjadi kurang seimbang dan mudah terjatuh. Berhati-hatilah!
Tip
* Anda boleh menghadiri kursus kelahiran bayi yang ditawarkan oleh hospital.
* Berehatlah jika penat. Badan anda sedang bekerja kuat.
Bulan kelapan
Bayi
* Otak bayi terus berkembang dengan cepat.
* Gerakan janin mula perlahan kerana saiznya semakin besar, namun bayi akan menendang dengan kuat dan berpusing.
* Anda mungkin boleh melihat siku dan tumit bayi pada perut anda.
* Tulang kepala bayi masih lembut dan ini memudahkan ia untuk keluar nanti.
* Paru-paru bayi masih belum matang.
* Saiz janin lebih kurang 18 inci panjang dengan berat 5 paun. Pertambahan berat ini kebanyakannya datang daripada lemak.
Ibu
* Buah dada anda mungkin mengeluarkan kolostrum (cecair yang akan menjadi makanan bayi sebelum susu keluar) semasa ia mula menghasilkan susu. Bersihkan puting anda dengan air dan gosok dengan lembut, jangan gunakan sabun untuk mengelakkan kekeringan.
* Anda mungkin merasa kurang selesa semasa tidur. Tidur mengiring dan sokong belakang dan perut anda dengan beberapa biji bantal. Anda mungkin menghadapi sedikit kesukaran bernafas kerana bayi menekan paru-paru anda.
* Kekejangan kaki biasa berlaku pada bulan ini, begitu juga dengan vena verikos di mana di kaki anda akan timbul urat seperti sarang labah-labah.
Tip
Anda dikehendaki mengalami pemeriksaan prenatal 2 minggu sekali tetapi berjumpa segera dengan doktor jika anda mengalami tanda-tanda berikut:
* Pendarahan atau keluar cecair yang banyak daripada vagina
* Kejang, sakit perut, atau sakit belakang yang kuat
* Pandangan mata kabur
* Rasa bayi turun
* Gerakan bayi yang semakin perlahan dengan banyaknya
* Lebih daripada 5 kontraksi dalam satu jam.
Sediakan diri anda untuk penyusuan susu badan:
* Dapatkan ilmu sebanyak mungkin dengan bertanya dan membaca.
* Tanya doktor anda untuk maklumat lanjut.
Bulan kesembilan
Bayi
* Pada umur 37-40 minggu, bayi sudah sempurna dan sedia untuk keluar dari rahim ibunya.
* Paru-parunya juga sudah matang. Sepanjang bulan ini berat bayi bertambah ½ paun seminggu.
* Kepala bayi biasanya sudah turun, terletak di bawah perut ibu.
* Diakhir bulan beratnya bertambah kepada 6 hingga 9 paun dan panjang 19 hingga 21 inci.
Ibu
* Berat anda mungkin tidak naik pada bulan ini.
* Pusat anda mungkin akan timbul.
* Pernafasan lebih mudah kerana bayi telah menurun ke bawah.
* Tetapi, anda juga akan kerap terkencing kerana bayi menekan pundi kencing anda. Jangan kurangkan pengambilan air walaupun anda akan kerap ke tandas.
* Kaki anda akan bertambah bengkak.
* Servik anda akan memanjang dan memendek semasa ia bersedia untuk kelahiran.
* Anda akan merasa tidak selesa kerana tekanan dan berat bayi dan pelbagai gejala lain seperti kekejangan, sembelit dan lain.
* Pastikan anda mendapat rehat secukupnya dan makan makanan seimbang.
Tip
* Pemeriksaan prenatal anda kini ialah seminggu sekali.
* Awasi kontraksi anda. Anda hampir melahirkan apabila kontraksi anda:
o Tetap dan berjarak sama (contohnya setiap 7 minit )
o Berlaku lebih 5 kali dalam satu jam
o Berakhir selama 30 ke 70 saat
o Semakin terasa sakit/kuat apabila anda bergerak
o Tanya doktor anda jika anda rasa anda ingin melahirkan
"saya di sini, ibu!"
8 years ago
Post a Comment