• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
Posted by An-Nasrullah - - 10 scratches

KUPASAN BUKU:
APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM?
KARYA AL-FADHIL DR. FATHI YAKAN


Prepared by:
NASRUL HADI BIN JOHARI


1.0 Pendahuluan

Buku yang dipilih untuk dikupas dalam tugasan ini adalah sebuah karya agung Al-Fadhil Dr. Fathi Yakan yang berjudul “Apa Erti Saya Menganut Islam” (Gambar 1). Buku yang sangat menarik ini telah diulang cetak banyak kali oleh beberapa syarikat penerbitan tanah air memandangkan sambutannya yang sentiasa segar. Buku ini juga telah di terjemah ke dalam pelbagai bahasa termasuklah bahasa melayu untuk dijadikan tatapan dan rujukan umat Islam di seluruh dunia sejak 1980an lagi. Buku ini sangat sesuai dan telah dijadikan bahan tarbiyyah untuk dibicangkan dalam halaqah-halaqah ilmu seperti usrah, ceramah, diskusi dan sebagainya.

Kitab ini telah dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian yang pertama membicarakan persoalan “Apa ertinya saya menganut Islam”, dengan menghuraikan sifat-sifat yang wajib ada pada setiap orang Muslim. Sifat-sifat ini adalah sifat asas yang perlu difahami oleh setiap umat Islam agar benar-benar menjadi seorang Muslim. Manakala bahagian yang kedua pula membincangkan perihal “Apa ertinya saya menggabungkan diri dengan harakah islamiyah”. Dalam bahagian ini, Dr. Fathi Yakan telah membentangkan ciri-ciri penting yang mesti wujud pada mereka yang menganut Islam supaya penggabungan diri mereka menjadi penggabungan yang benar. Gabungan kedua bahagian ini telah melengkapi antara satu sama lain untuk memberi panduan dan garisan yang sangat sesuai dan pratikal kepada para da`e (pendakwah) dalam memantapkan lagi kefahaman dan usaha untuk memurnikan Islam.

Membaca dan memahami buku ini membuatkan pembaca menjadi lebih focus dan faham mengenai muslim dan tuntutannya, tidak lagi hanya tahu mengaku muslim dengan lafaz, tetapi telah tidak disertakan dengan perbuatan dan keseluruhan anggota tubuh dan akal. Mengaku muslim menuntut kita untuk menjadi umat yang terbaik. Umat yang sentiasa faham dan menyerah diri sepenuhnya kepada Islam seperti yang dituntu oleh Allah SWT.


Gambar 1: Kitab “Apa erti saya menganut Islam” oleh Dr. Fathi Yakan, terjemahan oleh Pustaka Salam.


2.0 Biografi Penulis

Dr Fathi Yakan dilahirkan pada 9 Februari 1933 di Tripoli Lubnan. Beliau memperolehi PhD dalam bidang pengajian Islam walaupun pada peringkat BA dan MA beliau belajar dalam bidang kejuruteraan. Beliau berkahwin dengan Dr Mona Haddad Yakan dan dikurniakan lima cahaya mata. Beliau adalah pelopor gerakan Islam di Lubnan dan dunia Islam bahkan antara pelopor yang mengasaskan gerakan Islam di Lubnan bersama-sama dengan 50 saudaranya yang lain selepas mereka menziarahi Dr. Mustafa As-Siba’ie di Syria. Beliau telah menyumbang tenaga di dalam mempelopori fikrah gerakan Islam di dunia Arab dan telah menyebarkan risalah-risalah dakwah yang berbentuk ideologi untuk menjadi panduan generasi kebangkitan Islam. Kebanyakan tulisan-tulisan beliau telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa. Beliau pernah memenangi kerusi dalam pilihanraya Lubnan pada tahun 1992. Walaupun suatu ketika beliau tidak bersetuju dengan pilihanraya kerana tidak pernah berlaku pada zaman Rasulullah.

Apa Ertinya saya menganut Islam ditulis dengan kupasan yang amat ringkas dan mudah difahami. Beliau berbuat demikian kerana, mahu menyedarkan khususnya umat Islam Lubnan untuk kembali berpegang kepada Islam. “Pemuda yang tiada peribadi, bersikap seperti kera, pemuda yang tidak mempunyai akhlak, yang lebih dekat dengan binatang, pemuda yang dijadikan tentera oleh kuasa-kuasa jahat dan zalim, disusun oleh parti kufur dan zalim, pemuda pondan yang tidak ada kebaikan pada mereka, tetapi keberkatan datang bersama pemuda yang tinggi cita-citanya. (Dr Fathi Yakan)


3.0 Ringkasan muqaddimah

Penggabungan diri dengan agama Islam bukanlah secara warisan, bukan secara hobi malah ia juga bukan penggabungan secara zahir sahaja. Sebenarnya penggabungan yang dimaksudkan ialah penggabungan dengan ajaran Islam itu sendiri dengan cara berpegang teguh dengan seluruh ajaran Islam serta menyesuaikan diri dengan Islam di segenap bidang kehidupan dengan penuh kerelaan.

Seterusnya kami akan menerangkan secara ringkas sifat-sifat yang wajib dimiliki oleh setiap muslim untuk memastikan penggabungan dengan agama ini merupakan penggabungan yang sah dan benar. Firman Allah Subhanahu Wata'ala yang bermaksud:

Dia menamakan kamu: Orang-orang Islam semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaranperbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang member keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah).
(Surah Al-Hajj 22: Ayat 78).


4.0 Bahagian Satu “ Apa ertinya saya menganut Islam”

Bahagian yang pertama ini mengandungi 6 bab semuanya. Bab-bab tersebut adalah:

1- Saya mestilah Muslim di sudut Akidah
2- Saya mestilah Muslim di sudut Ibadat
3- Saya mestilah Muslim di sudut Akhlak
4- Saya mestilah Muslim di sudut Berkeluarga
5- Saya mestilah mampu mengawal diri
6- Saya mestilah yakin bahawa masa depan di tangan Islam.

Ke enam-enam bab ini mengupas cirri-ciri atau sifat-sfat seorang muslim yang perlu dimiliki. Dalam bab yang pertama, ianya sangat bersesuaian dengan pendekatan baginda Rasulullah SAW dalam uslub dakwah dan juga pendekatannya. Seorang muslim itu mestilah selesai pemahaman hatinya terhadap Allah dan rasul serta Islam. Akidah yang jelas dan mantap akan melahirkan perbuatan, pemikiran dan percakapan yang islami, iaitu perbuatan ibadah. Ia juga seterusnya akan menjadi asas dalam perbuatan ibadah seorang muslim. Melakukan ibadah tanpa ada kefahaman akidah yang jelas ibarat perbuatan yang sia-sia dan tiada manfaatnya.

Seterusnya apabila kita telah selesai bab akidah yang jelas dan ibadah yang sahih, maka pastinya seorang muslim itu akan berakhlak dengan akhlak Islam. Ini kerana akhlak yang baik hanya akan di zahirkan melalui hikmah dan manfaat ibadah yang baik. Di dala Islam, akhlak yang mulia itu lahir sebagai hasil daripada pelbagai ibadat yang dilakukan. Tanpa hasil ini, ibadat-ibadat yang kita lakukan ibarat satu upacara gerak geri ritual kosong, yang tidak membawa apa-apa nilai dan faedah.

Kemudian, apabila kita telah menganut agama Islam, kewajipan telah jatuh ke atas diri kita untuk menjadi pendakwah segenap kehidupan kita. Maka, langkah pertama yang mesti kita lakukan ialah menjadikan rumah tangga saya sebagai sebuah rumah tangga muslim. Kita wajib menyampaikan ajaran Islam terhadap keluarga dan masyarakat disekeliling kita. Selain itu, dalam bab keempat dan kelima ini juga engajar kita untuk sentiasa dapat menguasai diri. Jangan sesekali kecundang kepada hawa nafsu diri sendiri yang pastinya akan memusnahkan diri.

Manakala di dalam bab yang keenam pula, kita mesti meyakini bahawa keimanan kita dengan Islam sepatutnya sampai ke peringkat meyakini bahawa masa depan kelak ialah milik Islam. Agama Islam adalah satu-satunya manjah kehidupan yang sangat sesuai dan selaras dengan kehidupan manusia.



5.0 Bahagian Dua “Apa ertinya saya menggabungkan diri dengan harakah Islamiyyah”

Seterusnya, di dalam bahagian kedua, telah dinukilkan oleh Dr.Fathi beberapa bab iaitu:

1. Saya mesti hidup untuk Islam
2. Saya mesti beriman bahawa beramal untuk Islam itu adalah wajib
3. Tanggungjawab, cirri-ciri dan persediaan harakah islamiyah
4. Saya mesti memahami cara-cara beramal untuk Islam
5. Saya mesti memahami sejauh mana penggabungan denagn harakah islamiyyah
6. Saya mesti mememahami makna pemutusan amal islami
7. Saya mestilah memahami syarat-syarat baiah dan keanggotaannya.

Bahagian kedua buku ini yang bertemakan “apa ertinya saya menggabungkan diri dengan harakah Islamiyyah” membentangkan ciri-ciri penting yang mesti wujud pada mereka yang menganut Islam supaya penggabungan diri mereka menjadi penggabungan yang benar.

Asas bagi penggabungan seseorang dengan harakah Islamiyyah ialah dengan wujudnya ciri-ciri dan sifat-sifat penggabunagn seseorang dengan agama Islam itu sendiri. Inilah yang menjadikan harakah Islamiyyah mengambil berat ke atas persiapan peribadi Muslim yang sebenarnya sebelum memulakan usaha membentuknya sebagai seorang anggota harakah Islamiyyah.

Langkah ini perlu kerana penggabungan diri seseorang dengan ajaran Islam adalah asas, manakala penggabungan ke dalam harakah pula adalah sebahagian yang tidak boleh diceraikan dari hakikat penggabungan seseorang dengan agama ini.

Sehingga hari ini telah berlaku pelbagai peristiwa dalam dunia Islam umumnya yang merupakan satu bukti bagaimana sebenarnya umat Islam hidup dalam keadaan kekosongan yang melampau dalam pelbagai lapangan kehidupan. Dalam peristiwa-peristiwa berdarah dan sekatan dunia, telah banyak system peraturan hidup dan prinsip-prinsip Islam telah gugur dan lenyap. Telah banyak gerakan-gerakan Islami dan pemimpin-pemimpinnya yang syahid gugur di medan perjuangan. Sistem-sistem Islam dan pengaruhnya sudah langsung tiada taring. Hilang begitu sahaja.

Justeru, kesemua ini menuntu kepada perlunya sebuah Harakah, yang akan berhadapan dengan satu tanggungjawab terhadap sejarah masa depan umat Islam, memurnikan kembali iman dan iradah yang telah tercemar. Maka, buku ini tiada lain, menyeru pembacanya untuk berubah. Melengkapi diri dengan cirri-ciri Islam untuk menggabungkan jasad dan roh kepada harakah islamiyyah.


6.0 Penutup

Benarlah buku ini tersangat mengkagumkan sebagai hasil nukilan seorang manusia biasa yang bukan Rasul bukan pula Nabi. Titipan semangat dalam panduannya mampu mengubah dunia, hasil daripada didikan-didikan tarbiyyah yang sarat didalamnya. Sangat dicadangkan kepada semua untuk membaca dan ‘mentadabbur’nya.


7.0 Rujukan

Kitab Apa Erti Saya Menganut Islam, Dr.Fathi Yakan.
Inilah Jalanku, Prof Dr Sayyid Alawi Maliki, Terjemahan Sheikh Fuad Kamaluddin

10 Responses so far.

  1. zulkola says:

    wah, hebat sungguh kupasan yang saudara bicarakan di sini. Sememangnya buku ini sangat menarik dan bagus untuk dibaca oleh semua orang. Tahniah untuk saudara nasrul memberi maklumat yang sangat berguna ini. Nak tanya sikit, artikel ini buat sendiri ke amik dari orang?hehe

  2. alhamdulillah wat sndri la zul..ade kesempatan aritu wat..ini jugak utk assignment subjek science social...nape x caye? amanah dlm menulis

  3. zulkola says:

    hahaha percaya2..ooo assignment rupanya, patut ar skema ja ayatnya...huhu bagus2, teruskan menulis, jangan berhenti setakat tu jer...

  4. Anonymous says:

    Salam.
    Terima kasih, dapat rujukan pantas melalui tulisan tuan.

  5. assalamualaikum.. w.b.t
    Mohon sangat2 keizinan drpd tuan punya blog untuk mencopy artikel ini demi tujuan pembentangan bedah buku maza yakni .
    Ala kulli hal.alfu syukran.
    Moga Allah menganugerahkan pahala buat sang penulis.. dan moga ALLAH redho. :)

  6. Anonymous says:

    Assalamualaikum. Saya sedang baca buku ini yg dipinjamkan kepada saya oleh seorang rakan. Kupasan tuan amat membantu kerana saya baru convert

  7. Anonymous says:

    boleh saya copy serba sdikit idea anda????

  8. seri nian says:

    Alhamdullilah kupasan jelas dr tuan...smg menafaat kpd yg lain

  9. saya nk tanye, apakah isi materialisme yang terdapat dalam buku tersebut ???

  10. Mujahidah says:

    Maksud surah Al Haj ayat 78 bukanlah seperti yang tertera